Monday, October 19, 2009

Penyaksian kepada Kebenaran

(Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t,
dan Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah)


“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Dakwah kita ditujukan kepada mereka yang beriman dengan Allah sebagai tuhan dan Islam sebagai agama. Kita menyeru mereka;

Agar menjadikan Islam sebagai agama dalam realiti hidup mereka; Agar mereka berpegang dengan Islam baik secara individu atau secara kolektif; Agar mereka mempraktikkan segala kebaikan Islam; Agar mereka membentuk hidup mereka dalam konteks individu mahupun masyarakat dengan kebaikan Islam; Agar mereka melaksanakan segala rukun Islam dan menyokong segala teras Islam; Agar mereka menyemai nilai mulia dan keberkatan Islam di dalam keluarga mereka, saudara-mara mereka, masyarakat mereka dan sekolah mereka; Agar mereka mencorak urusniaga dan segala urusan ekonomi mereka menurut Islam.

Begitu juga kita mengajak mereka supaya melaksanakan segala tuntutan agama ini di dalam pertubuhan dan institusi negara dan membentuk dasar negara mereka berlandaskan ajaran Islam. Sehingga tiada lagi mana-mana sudut kehidupan atau mana-mana sistem yang ada sama ada sistem di kala perang atau aman, dasar hubungan antarabangsa, masalah ekonomi dan masalah sosial, semuanya dalam bentuk yang bersesuaian dengan nilai agama yang benar ini atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.

Ringkasnya, hala tuju dan sasaran kita ialah agar umat Islam mendokong kebenaran melalui kata-kata mereka di hadapan seluruh manusia, dengan pengakuan yang sebenar dan meyakinkan seluruh manusia tentang ajaran agama ini, meyakinkan mereka bahawa ajaran agama ini adalah ajaran yang benar.

Syahadah ini iaitu syahadah sebenar dan usaha ke arah memartabatkan agama hendaklah menjadi objektif utama seorang muslim dan suatu yang paling utama perlu diusahakannya.

Syahadah ini sepatutnya menjadi paksi yang memusatkan segala amalannya di dunia ini dan sepatutnya menjadi matlamat yang menggembeling segala tenaga dan usahanya.

Marilah sama-sama wahai umat Islam, hentikanlah segala amalan yang bercanggah dengan Islam atau yang mencemar nama baik Islam.

Nilailah segala amalan kamu.
Nilailah segala perkataan atau perbuatan yang kamu ucapkan atau kamu lakukan dengan neraca Islam yang sebenar.

Jauhkanlah segala perkara yang tidak diterima oleh neraca ini.

Arahkanlah segala jiwa raga kamu ke arah dakwah Islam. Jadikanlah Syahadah Al-Haq ini sebagai objektif utama kamu dalam hidup ini tanpa kamu mengenal erti penat lelah hingga kamu mampu membuktikan syahadah ini menurut cara yang sebenarnya. Sehingga segala elemen agama ini tertegak dan mampu dilihat oleh seluruh manusia seterusnya menjadi hujah Allah bagi mendakwa hambahambaNya yang ada di bumi ini. Agar tidak wujud lagi sebarang alasan untuk manusia kemukakan kepada Allah selepas ketiadaan para rasul. Demikianlah yang dinyatakan oleh Allah di dalam kitabNya dan benarlah segala firmanNya.


“Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Nisa’: 165)

No comments:

Post a Comment